BUDAK HUTAN

Monday, April 20, 2009

Wajah-Wajah Hijau... SK. Kirunggo 2009.
Ini adalah post Ocoi yang diambil dari dunia realiti. Gambar-gambar ini Ocoi capture di Sungai Karamuok Tongod, di bawah SK. Kirunggo Telupid Sekolah dia orang si Runsab, Tulun Sabahan dan Si Lala bertugas. Sungai ini juga adalah Zon Merah Tagal. Tetapi hutan dan kawasan sekitar sungainya entah bila dapat zon merah untuk tidak ditebang kayu-kayunya. Waktu gambar ini Ocoi capture baru sahaja hujan lebat sehari sebelumnya sebab itu airnya agak kelabu sedikit. Pada hari-hari biasa sungai ini tersangatlah jernih sehingga anak-anak ikan, udang dan ketam yang bermain kejar-kejaran di sebalik batu akan jelas terlihat. Ocoi memang sudah sebati dengan alam menghijau begini. Malangnya fenomena sebegini sudah semakin pupus di muka bumi ini amnya dan di negeri ini khususnya. Ocoi akan selalu mengunjugi tempat-tempat begini apabila rasa tertekan atau kecewa dengan sesuatu hal, dan terima kasih kepada Sang penciptanya.. Segala bentuk kecelaruan minda selalunya terlerai di sini. Adakalanya Ocoi akan duduk berjam-jam di tempat-tempat begini.. bermeditasi.. dan memerhati sepuasnya, di situ Ocoi temui tenang. Mungkin yang terlihat akan timbul pelbagai persoalan... tak pa.. di bumi merdeka ini kita boleh fikirkan apa sahaja, pokoknya Ocoi belum gila. Tetapi Ocoi amat sakit hati melihat sungai-sungai yang dahulunya amat indah di pandangan mata tapi kini sudah menjadi cetek dan dipenuhi lumpur... sayang sekali ocoi tak ada post untuk sungai-sungai yang sudah mati itu. Tapi pandangan itu 100% tidak menarik.Namun kebanyakan sungai malang itu di tengah-tengah ladang kelapa sawit syarikat-syarikat besar. Seperti Asiatic, IOI, MyCOM, Corak Nakhoda, Samudera, Kim Loong dan entah apa-apa lagi. Tapi itulah antara syarikat ladang kelapa sawit yang banyak menyumbang kepada kemusnahan alam semulajadi di negeri ini.

Budak Hutan:
Aku ingin hidup seribu tahun lagi,
Bersama unggas, di rimba raya..
Aku tak pernah sunyi di sini..
Bertemankan fotomorgana di rimba berbudaya

Biarkan kehijauan ini terus berlagu..
Tapi semalam kudengar lagunya sumbang
Meski tetap jua beralun lembut bersama bayu
Berhembus lesu di lereng-lereng gunung


Mengapa keindahan ini harus diragut????
Sedangkan ia milik yang maha Esa..
Mengapa kerakusan perlu bersalut..
Kemusnahan dan kehijauan yang binasa..
Sedangkan aku setia mendodoikan lagu
Walau kala sendu dan memilu..
Lantaran bayu lembut semakin berlalu
Menjauh, jauh..... di lereng Kinabalu

Buat budak hutan, yang sarat dengan cinta di dada..

Ocoi - Kinabatangan 21.Ap. 09

TERKURUNG LAGI

Monday, April 13, 2009

Ada jambatan pun kalau macam ni tak guna jugakan.
Tidak habis-habis Ocoi dengan posting cam ni.
Tapi Ocoi memang suka posting-posting macam ni.
Bukan seorang aja Ocoi yang terperangkap dek banjir ni. Tuuu..
Mat lori yang besar-besar pun terpaksa akur dengan kekuasaan alam.
Sang Kancilpun ada juga di sini.
Tak sebijak dalam cerita juga pula ni kancil bila berdepan dengan banjir.
Sabar ajalah geng, kena akur kepada kehendak alam.
Kena tunggulah sehingga air surut.
Buat macam mana lagi, kalau kereta tu boleh transfer jadi perahu ka,
sampan ka, buaya ka.. bolehlah terjah air banjir ini.
Tuuu..jalan sebelah sana tu..agak jauh juga.. dalamnya satu cerita, deras lagi lain cerita.
Triton nipun tak berani juga ba.. Naaa apa lagi Yellow Perl tu..terpaksa akur juga. Kalau setakat licin biasa juga, dalam air 3,4 kaki pernah juga redah, tapi kalau dah main deras-deras ni...angkat tangan jugalah... masih sayang ba sama itu kereta..nanti hanyut..hehe..

Sabar ajalah kawan, beramai-ramailah kita di sini dulu.
Paras air sungai ni semakin naik ni.
Itulah, manusia selalu tak endahkan alam, tak beri kerjasama kepada alam. Mengganggu sistem yang ada. Alam pun pandai juga tunjukkan kuasanya kepada manusiakan. Yang ni baru kuasanya di tahap terendah ni...1 + 1 kata orang.

PERJALANAN RUTIN OCOI

Friday, April 10, 2009

Ini adalah jalan-jalan utama Ocoi. Jalan yang menghubungkan perkampungan nun jauh di Ulu Kinabatangan ( Penangah, Masaum, Mengkawago, Alitang, Soguon,Tampasak, Minusuh, Namukon, Maliau, Menanam, Napagang, Langkabong, Tinopikon dan beberapa buah kampung lain yang tak tersebut) dengan Pekan Telupid. Sememangnya bagi mereka yang pertama kali melalui jalan ini pasti pelbagai keluhan dan sumpah seranah akan terlontar dari bibir mereka.
Apapun bagi Ocoi, keadaan jalan begini sudah menjadi satu rutin yang menyeronokkan. Ia akhirnya menjadikan Ocoi rasa tak best pula jika tak ada jalan-jalan yang kurang elok begini.
Banyak kebaikan juga bila ada jalan-jalan yang kurang baik ini. Antaranya, tak adalah haiwan seperti ayam, itik, anjing, kucing, arnab, tikus, biawak, katak, kambing atau lembu yang mati katak terbangkang di jalan raya kerana terlangar dek kenderaan yang mahu cepat sampai atau sengaja dipandu dengan laju. Satu lagi, jalan yang tak elok begini juga akan memberi peluang kita berkenalan dan menambah jumlah kawan disamping memupuk semangat tolong-menolong. Yalah, kalau kereta kawan dah tersangkut kenalah tolong dia, kalau tak berjam, bermalam lah jadinya.
Jalan-jalan begini juga akan menguji kelasakkan kenderaan yang kita pandu disamping menguji keberanian dan kecekapan pemandunya..hehehee.. Itu yang best tu. Kereta Ocoi juga sebenarnya kalau setakat terjun parit dan jatuh dalam lubang jambatan, masuk sungai dah menjadi kebiasaannya. Entah berapa lama lagilah Yellow Pearl itu bertahan dengan jalan-jalan begini.

SELAGI ADA WAKTU..SATU KOLEKSI PERIBADI

Wednesday, April 8, 2009


Selagi ada waktu..Selagi ada nadi berdenyut.

Merupakan satu himpunan koleksi puisi dan cerpen hasil nukilan Ocoi. Latar waktu penulisan adalah di antara tahun 80an hinggalah ke masa kini. Segala persoalan yang cuba dikoreksi oleh penulis adalah berkisar secara langsung dengan sistem kehidupan masyarakat Malaysia selepas merdeka khasnya dari golongan muda (Pelajar). Ia juga memperagakan jiwa-jiwa romantis yang lahir akibat dari himpitan hidup yang serba kekurangan, kesepian dan perasaan rendah diri yang melampau.

Puisi-puisi yang terhasil berkisar secara langsung dengan rasa kecintaan kepada alam sekitar dan kehijauan yang holistik. Untaian rasa ketidakpuasan dengan hiruk pikuk politik semasa dan kebanjiran warga tanpa izin. Segala bentuk penolakan dan kesalan dihamparkan menjadi deretan bait-bait bahasa yang cukup lembut namun cukup menyentuh bagi mereka yang tak terlena.

Apapun adanya, catatan-catatan ini hanya mampu menjadi koleksi peribadi penulis, lantaran hanya satu dua dari puisi ini yang pernah diterbitkan oleh DBP Sabah suatu ketika dahulu walaupun kebanyakan puisi ini pernah menjuarai pertandingan puisi peringkat sekolah suatu waktu dahulu. Ia merupakan khazanah individu yang tak mungkin dapat diterbitkan. Melainkan wujud pihak tertentu yang meminatinya. Apapun bagi penulis, dengan terhimpunnya puisi dan cerpen ini sudah cukup manis dalam diari hidupnya. Seperti katanya,"Kita hidup kerana masa lalu yang ada, bukan masa yang belum tiba, kerana masa yang belum tiba, kita belum pasti masih ada" - Segala coretanku adalah ilmu yang telahku lihat dan pelajari. * Cover buku ini juga masih dalam evolusi penyudahan agaknya.

SELAGI ADA WAKTU (SLEEPING CHILD)

Thursday, April 2, 2009

DALAM LENAKU

Dalam lena ini...
Ingin ku khabarkan kepada sungai.....
Kepada kerang dan pepasir putih di tepian pantai,
Tujuh lapisan bumi menyusuri garisan benua tak bertepi..
















Dalam lenaku...
Inginku bersatu dengan alam menghijau..
Bersatu dengan langit maha meru..
Biar hijau, biar biru kerana rinduku masih memburu..
Satu damai sedingin salju...


















Aku ingin terus lena..
Bersama kehijauan rimba raya..
Jauh dari pekik laung jentera kota raya..
Sepi dari jeritan-jeritan pesta pura..


















Aku ingin lena..

Bersama pelangi di kepala..
Menembusi ubun-ubun muda,
Memberiku damai menjelang senja..
Di situ aku ingin bermanja...

















Ocoi-UK..02.04.2009
(Selagi ada waktu 1)

 
 
 
 
Copyright © OCOI