RENUNGAN DAN MOTIVASI DIRI

Thursday, November 27, 2008

Pernahkah anda berasa benar-benar sunyi? Benar-benar kecewa? Benar-benar luka? Benar-benar rasa tak dihargai? Tidak berharga? Tidak berguna lalu rasa atau terfikir lebih baik mati sahaja..? Sebagai manusia biasa kita tidak pernah sunyi daripada perasaan dan tekanan hidup yang pelbagai aroma dan citarasanya. Ia lahir dari naluri rasa yang tidak terpenuhi dalam kendiri kita. Ini adalah penyakit jiwa manusia yang tidak akan ada ubatnya di farmasi mana juga. Kesakitan ini suatu yang lebih sakit dari terhiris pisau atau tercucuk duri selumbar. Ocoi sering melalui semua ini. Justeru itu, ocoi berani berkata bahawa kebanyakan daripada kita akan cenderung berfikir bahawa seksaan, penderitaan dan masalah adalah perkara-perkara yang "buruk". Terlanjur membaca coretan ini, apa kiranya kita renung sebentar apa yang ocoi ingin kongsikan ini. Kita dianugerahkan deria rasa sakit supaya kita menarik semula tangan kita dari sesuatu yang panas sebelum tercedera teruk. Kita berasa sakit apabila otot kita ditegangkan secara berlebihan. Banyak juga cerita yang kita dengar tentang ahli sukan atau olahragawan (athlete) yang kerjaya sukannya terpaksa berakhir lebih awal kerana lumpuh untuk selamanya kerana mereka tidak menghiraukan kesakitan yang dialami dengan mengambil dadah untuk mengatasinya. Walhal kesakitan sebenarnya perlu dalam proses pembesaran fizikal mahupun perkembangan psychomotor seseorang. Bagaimana dengan mengalami kedukaan, penderitaan dalam hidup? Adakah ia suatu hal yang 'baik'? Untuk ini ocoi nak berkongsi suatu cerita dimana mungkin anda dapat jawapannya. Ada seorang ibu tua yang baru kematian anak lelaki tunggalnya. Dalam kehibaan dan musim berduka itu si ibu telah pergi berjumpa seorang yang warak lagi bijaksana jika ada sebarang doa atau mantera ajaib yang dapat menghidupkan anaknya kembali. Si warak tidak berkata apa-apa tetapi meminta si ibu membawakannya sebiji benih sawi daripada sebuah rumah yang tidak pernah mengenali kedukaan dan kehibaan. Ia digunakan untuk melenyapkan kedukaan di dalam hidup si ibu. Bila dengar permintaan itu si ibu bergegas pergi mencari benih sawi ajaib itu. Mula-mula dia telah sampai ke sebuah rumah banglo besar lalu mengetuk pintu lalu berkata, "Makcik mencari sebuah rumah yang tidak pernah mengenali kedukaan dan derita, adakah ini rumahnya? Ini penting sekali buat Makcik katanya". Tuan rumah berkata, "Makcik telah datang ke rumah yang salah". Lalu tuan rumah itu menceritakan segala kisah sedih dan tragik yang telah menimpa isi rumah mewah itu. Makcik itu lalu berfikir dalam hatinya, "siapakah lagi yang lebih memahami dan membantu tuan rumah malang ini selain daripada aku yang telah mengalami kedukaanku sendiri dan boleh memahami perasaan orang berduka??" Lalu Makcik itu singgah sebentar dan menenangkan hati dan perasaan tuan rumah mewah itu dan seterusnya berjalan lagi mencari rumah yang tidak pernah mengenal kedukaan untuk mendapatkan benih sawi. Namun ke manapun ia pergi, samada banglo, istana yang terseragam indah hingga ke pondok paling buruk pun tiada satupun yang tidak mempunyai kisah sedih dan kedukaan. Akhir sekali, oleh kerana terlalu banyak kisah duka, penderitaan dan kesedihan yang ia dengar dari setiap rumah yang dikunjunginya dan setiap kali itu pula terpaksa mententeramkan hati dan perasaan penghuni rumah itu menyebabkan Makcik itu terlupa akan usahanya untuk mencari benih ajaib itu. Tanpa disedari juga ia telah melenyapkan kedukaan dalam hidupnya... Naah.. justeru itu..kita harus akaui bahawa "Kesukaran itu wujud agar dalam mengatasinya kita menjadi kuat kerana hanya mereka yang telah menderita sahaja yang mampu untuk memahami juga untuk menyelamat. Oleh itu, jika anda berasa anda sedih, derita, anda rasa malang, anda miskin, anda hina. Lemparkan jauh-jauh perasaan itu kerana di luar sana, di hujung sana, di atas bumi dan di bawah kolong langit yang kita junjung ini masih ada yang lebih derita,lebih hina, lebih miskin dari kita. Sedarlah bahawa kita masih sangat bertuah.

0 comments:

 
 
 
 
Copyright © OCOI