PERJALANAN RUTIN OCOI

Friday, April 10, 2009

Ini adalah jalan-jalan utama Ocoi. Jalan yang menghubungkan perkampungan nun jauh di Ulu Kinabatangan ( Penangah, Masaum, Mengkawago, Alitang, Soguon,Tampasak, Minusuh, Namukon, Maliau, Menanam, Napagang, Langkabong, Tinopikon dan beberapa buah kampung lain yang tak tersebut) dengan Pekan Telupid. Sememangnya bagi mereka yang pertama kali melalui jalan ini pasti pelbagai keluhan dan sumpah seranah akan terlontar dari bibir mereka.
Apapun bagi Ocoi, keadaan jalan begini sudah menjadi satu rutin yang menyeronokkan. Ia akhirnya menjadikan Ocoi rasa tak best pula jika tak ada jalan-jalan yang kurang elok begini.
Banyak kebaikan juga bila ada jalan-jalan yang kurang baik ini. Antaranya, tak adalah haiwan seperti ayam, itik, anjing, kucing, arnab, tikus, biawak, katak, kambing atau lembu yang mati katak terbangkang di jalan raya kerana terlangar dek kenderaan yang mahu cepat sampai atau sengaja dipandu dengan laju. Satu lagi, jalan yang tak elok begini juga akan memberi peluang kita berkenalan dan menambah jumlah kawan disamping memupuk semangat tolong-menolong. Yalah, kalau kereta kawan dah tersangkut kenalah tolong dia, kalau tak berjam, bermalam lah jadinya.
Jalan-jalan begini juga akan menguji kelasakkan kenderaan yang kita pandu disamping menguji keberanian dan kecekapan pemandunya..hehehee.. Itu yang best tu. Kereta Ocoi juga sebenarnya kalau setakat terjun parit dan jatuh dalam lubang jambatan, masuk sungai dah menjadi kebiasaannya. Entah berapa lama lagilah Yellow Pearl itu bertahan dengan jalan-jalan begini.

SELAGI ADA WAKTU..SATU KOLEKSI PERIBADI

Wednesday, April 8, 2009


Selagi ada waktu..Selagi ada nadi berdenyut.

Merupakan satu himpunan koleksi puisi dan cerpen hasil nukilan Ocoi. Latar waktu penulisan adalah di antara tahun 80an hinggalah ke masa kini. Segala persoalan yang cuba dikoreksi oleh penulis adalah berkisar secara langsung dengan sistem kehidupan masyarakat Malaysia selepas merdeka khasnya dari golongan muda (Pelajar). Ia juga memperagakan jiwa-jiwa romantis yang lahir akibat dari himpitan hidup yang serba kekurangan, kesepian dan perasaan rendah diri yang melampau.

Puisi-puisi yang terhasil berkisar secara langsung dengan rasa kecintaan kepada alam sekitar dan kehijauan yang holistik. Untaian rasa ketidakpuasan dengan hiruk pikuk politik semasa dan kebanjiran warga tanpa izin. Segala bentuk penolakan dan kesalan dihamparkan menjadi deretan bait-bait bahasa yang cukup lembut namun cukup menyentuh bagi mereka yang tak terlena.

Apapun adanya, catatan-catatan ini hanya mampu menjadi koleksi peribadi penulis, lantaran hanya satu dua dari puisi ini yang pernah diterbitkan oleh DBP Sabah suatu ketika dahulu walaupun kebanyakan puisi ini pernah menjuarai pertandingan puisi peringkat sekolah suatu waktu dahulu. Ia merupakan khazanah individu yang tak mungkin dapat diterbitkan. Melainkan wujud pihak tertentu yang meminatinya. Apapun bagi penulis, dengan terhimpunnya puisi dan cerpen ini sudah cukup manis dalam diari hidupnya. Seperti katanya,"Kita hidup kerana masa lalu yang ada, bukan masa yang belum tiba, kerana masa yang belum tiba, kita belum pasti masih ada" - Segala coretanku adalah ilmu yang telahku lihat dan pelajari. * Cover buku ini juga masih dalam evolusi penyudahan agaknya.

SELAGI ADA WAKTU (SLEEPING CHILD)

Thursday, April 2, 2009

DALAM LENAKU

Dalam lena ini...
Ingin ku khabarkan kepada sungai.....
Kepada kerang dan pepasir putih di tepian pantai,
Tujuh lapisan bumi menyusuri garisan benua tak bertepi..
















Dalam lenaku...
Inginku bersatu dengan alam menghijau..
Bersatu dengan langit maha meru..
Biar hijau, biar biru kerana rinduku masih memburu..
Satu damai sedingin salju...


















Aku ingin terus lena..
Bersama kehijauan rimba raya..
Jauh dari pekik laung jentera kota raya..
Sepi dari jeritan-jeritan pesta pura..


















Aku ingin lena..

Bersama pelangi di kepala..
Menembusi ubun-ubun muda,
Memberiku damai menjelang senja..
Di situ aku ingin bermanja...

















Ocoi-UK..02.04.2009
(Selagi ada waktu 1)

 
 
 
 
Copyright © OCOI