WAJAH-WAJAH PEDALAMAN

Tuesday, September 15, 2009



Daerah Tongod Kinabatangan:7 Sept.2009. Jika anda berkesempatan memasuki daerah Tongod - Jalan Penangah dan jalan Kironggu Tongod, anda akan melihat tompokan batu-batu di atas jalan raya ini. Sebenarnya himpunan batu ini diletak demikian rupa dengan tujuan memperbaiki jalan tanah merah yang menjadi jalan perhubungan utama para penduduk dari pedalaman Tongod keluar ke bandar Sandakan mahupun pekan Kecil Telupid. Masalahnya himpunan batu ini telah diletakkan demikian rupa berbulan-bulan lamanya oleh kontraktor terbabit. Akhirnya, jalan yang amat teruk ini bukan semakin mudah dilalui malah menyempitkan laluan ini.


Jambatan di bawah belumpun ada angin untuk diperbaiki, jambatan di atas ini pula menyusuli jambatan di bawah. Dan cerita yang sama, para pengguna terpaksa menggunakan jalan alternatif lain iaitu menyeberangi sungai yang pasti sahaja tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil. Jalan alternatif ini juga tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan pada musim hujan.


Satu-satunya jalan alternatif yang digunakan oleh penduduk dari Kg. Kironggu Tongod ke pekan Telupid. Berita tentang jambatan ini pernah menghiasi dada akhbar tempatan di negeri ini sedikit masa yang lalu namun sehingga kini tidak ada pihak yang bertanggungjawab tampil ke hadapan untuk menyelesaikan masalah perhubungan para penduduk dan kakitangan awam yang ulang alik menggunakan jalan ini. Mungkin kerana ia hanya sekadar sebatang jalan pedalaman?


Ini merupakan sebahagian rumah penduduk kampung yang bergantung penuh kepada jalan-jalan di atas sebagai jalan perhubungan utama ke pusat-pusat kesihatan dan menjual hasil-hasil pertanian mereka.


Ini pula adalah tiang-tiang beruti yang telah dipacak selepas PRU yang lepas. Ia dikatakan tanda bagi tiang elektrik yang akan dipasang dalam masa yang terdekat. Maka pada waktu itu, ramailah penduduk dari pedalaman ini yang termimpi-mimpi akan sinaran lampu kalimantang. Hari berlalu musim berganti, sehingga kini cahaya elektrik yang dijanjikan belum kunjung tiba. Pada mulanya tiang-tiang ini berderetan dari Kg. Entilibon Tongod hingga ke Kg.Kironggu Tongod. Tetapi kini hanya tinggal dua tiga batang yang kelihatan terpacak. Mungkin sudah dijadikan kayu api atau penanda sempadan tanah oleh penduduk kampung berhampiran selain daripada jatuh dimakan anai-anai.

 
 
 
 
Copyright © OCOI